mutakhir

Ke mana kau hilang Zaharah ?

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEORANG wanita dilaporkan hilang sejak 17 hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Puncak Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada 28 Januari lalu.

Kehilangan mangsa, Siti Zaharah Ab Adzzis, 34, disedari kakaknya, Siti Fatimah, 35, selepas menerima panggilan telefon daripada kakitangan tempat adiknya bekerja sehari selepas kehilangannya.

Siti Fatimah berkata, dia dimaklumkan anak kedua dari tiga beradik itu tidak masuk bekerja selama dua hari.

"Beberapa kali saya menghubungi adik namun tidak berjaya. Saya kemudian pergi ke rumahnya kira-kira jam 7 malam dan mendapati adik tiada di situ.

"Malah, kereta Mini Cooper milik adik tiada di sekitar kawasan rumah," katanya ketika dihubungi tadi.

Siti Fatimah berkata, kereta Mini Cooper berkenaan bagaimanapun dijumpai pada 30 Januari lalu di Subang Suria, Shah Alam oleh orang awam.

”Kenderaan itu berada dalam keadaan berkunci. Sebelum kejadian, saya difahamkan adik bergaduh dengan rakannya dan punca bergaduh tidak dapat dipastikan.

"Selepas itu, adik dipercayai pulang ke rumahnya sebelum hilang sehingga hari ini, kami sekeluarga tidak tahu di mana lokasi dia berada," katanya.

Menurutnya, Siti Zaharah adalah ibu kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun.

"Pemeriksaan di dalam rumah adik mendapati dia tidak membawa pakaian dan beg.

"Kami (ahli keluarga) ada menghubunginya serta menghantar mesej, namun mesej itu tidak dibalas manakala panggilan pula tidak dijawab," katanya yang membuat laporan susulan kehilangan itu di Balai Polis Damansara Utama pada 29 Januari lalu.

Dia yang juga pekerja syarikat swasta di Kota Damansara memaklumkan turut meminta bantuan daripada saudara dan rakan terdekat untuk mengesan Siti Zaharah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Siti Zaharah diminta menghubungi Siti Fatimah di talian 012-4063006 atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 3:10pm
d