mutakhir

MB Johor diminta beri penjelasan

Oleh Mohamed Farid Noh

MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal diminta memberi penjelasan dakwaan kerajaan negeri membeli kereta baharu untuk kegunaan beliau dan EXCO negeri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, beliau merujuk gambar di sebuah portal yang mendakwa kerajaan Johor membeli kereta Toyota Camry untuk kegunaan Menteri Besar dan barisan EXCO.

“Saya selaku Ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin bertanya kepada Menteri Besar (MB) adakah benar seperti yang ditularkan oleh media sosial pembangkang bahawa kerajaan negeri membeli kereta Toyota Camry baru bagi EXCO dan MB?

“Saya hadir di taklimat MB kepada Ahli Parlimen Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor pada 9 Januari di Kota Iskandar berkenaan kenaikan cukai tanah di Johor bermula 1 Januari lalu.

“Dr Sahruddin memaklumkan kepada kami bahawa alasan utama cukai tanah dinaikkan adalah kerana Kerajaan Johor kekurangan wang untuk pembangunan bagi faedah rakyat.

“Adakah munasabah tindakan Kerajaan Johor membeli kereta baharu untuk MB dan EXCO ketika rakyat masih mengeluh dan marah dengan kenaikan cukai tanah yang sesetengahnya begitu mendadak tinggi naiknya,” katanya dalam kenyataannya, di sini,hari ini.

Sejak semalam, gambar beberapa kereta Toyota Camry yang didakwa dibeli Kerajaan Johor untuk MB dan EXCO negeri viral di media sosial pembangkang.

Hassan juga meminta penjelasan Kerajaan Johor apa yang dilakukan terhadap wang kutipan cukai tanah yang dikutip mereka.

“Pembangunan untuk siapa sebenarnya. Duit kutipan cukai tanah dari rakyat itu digunakan untuk apa sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Johor yang dihubungi enggan mengulas lanjut.

“Buat masa ini, belum ada sebarang ulasan akan diberi untuk isu ini, ” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 3:39pm
d