mutakhir

Liwat pelajar, penganggur didakwa

Oleh Zaid Salim

PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini, atas empat pertuduhan meliwat pelajar lelaki tingkatan satu pada Januari lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh berusia 22 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii pada 23 Januari, jam 5.15 hingga 5.20 petang, di sebuah rumah di Marang, Terengganu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh mengulangi kesalahan yang sama pada 1 Februari 2020, pada 3 dan 3.05 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 377B, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat, manakala Seksyen 377C, penjara tidak kurang dari lima dan tidak lebih dari 20 tahun penjara dan juga sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Amira Ruziani Wan Abdul Razak.

Nooriah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Hulu Terengganu pada 1 dan 5 hari bulan, setiap bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan mengganggu saksi pendakwaan.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:08pm
d