mutakhir

Padah ghairah mahu hadiah

Oleh Shahrinnahar Latib

GHAIRAH untuk mendapat hadiah istimewa dari luar negara, seorang pegawai kerajaan berputih mata apabila kerugian RM31,800 selepas diperdayakan sindiket penipuan Parcel Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 60 tahun pada mulanya berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warga United Kingdom (UK) melalui aplikasi WeChat pada Januari lalu.

“Mangsa sering berhubung dengan suspek melalui WhatApps hinggalah pada 3 Februari lalu apabila suspek memaklumkan ingin menghantar bungkusan hadiah sebagai kejutan untuk mangsa.

“Keesokan harinya, mangsa menerima mesej WhatApps yang memperkenalkan diri daripada pihak kurier dan memaklumkan ingin menghantar bungkusan hadiah kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan di Kuantan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu untuk mendapatkan bungkusan berkenaan.

“Bermula pada 4 Februari lalu hingga semalam, mangsa membuat lima kali pindahan ke dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM31,800,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas meragui dengan pembayaran berkenaan.

Katanya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:32pm
d