mutakhir

Rayuan pengusaha chalet dipertimbangkan

Oleh Hassan Omar

KERAJAAN negeri sedang meneliti rayuan Persatuan Pengusaha Chalet Melaka supaya tiada catuan air dibuat pada Sabtu dan Ahad berikutan peningkatan jumlah tetamu pada hujung minggu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, hasil perjumpaan beliau dengan pemimpin persatuan berkenaan semalam, kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan itu, tetapi setakat ini belum ada keputusan mengenainya.

“Pegawai Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut hadir dalam perjumpaan itu semalam dan SAMB bersetuju mempertimbangkannya, tetapi harus mengambil kira kepentingan masyarakat secara keseluruhannya sebelum membuat keputusan.

“Persatuan itu mendakwa tetamu sama ada pelancong tempatan atau asing mendaftar masuk pada petang Jumaat sebelum keluar pada Ahad dan mereka memerlukan air.

“Kita perlu lihat pelbagai aspek sebelum membuat keputusan,” katanya selepas program Hari Bertemu Rakyat Perdana di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di Alor Gajah, hari ini.

Pada program itu, Adly dan beberapa EXCO bertemu anggota komuniti untuk mendengar masalah mereka dan mengambil tindakan segera mengatasinya melalui kehadiran pegawai pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Program bermula 8 pagi dan berakhir empat setengah jam kemudian itu yang pertama seumpamanya di negeri ini berbanding program biasa Adly bertemu rakyat di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh pada setiap Khamis sebelum ini.

Kerajaan negeri melaksanakan catuan air fasa pertama dari 29 Januari hingga 9 Februari lalu sebelum menyambung fasa kedua pada Isnin lalu hingga 29 Februari ini berikutan penyusutan paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus serta Asahan di Jasin.

Berdasarkan jadual catuan air fasa kedua SAMB, catuan secara selang sehari akan turut menyebabkan tiada bekalan air pada Ahad ini dan 22 Februari ini berbanding pengecualian untuk Sabtu dan Ahad pada fasa pertama sebelum ini.

Adly berkata, setakat ini kerajaan negeri belum membuat keputusan sama ada akan menamatkan catuan itu selepas fasa kedua berakhir atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada cuaca, terutama hujan menjelang hujung bulan ini.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:36pm
d