mutakhir

Setiausaha Akhbar MB buat laporan polis

Oleh BERNAMA

SETIAUSAHA Akhbar Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Mohd Faiz Abdullah hari ini membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook (FB), berhubung tuduhan fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 9.42 pagi hari ini terhadap pemilik akaun berkenaan iaitu Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafinaz Nor Azman.

Mohd Faiz berkata, laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit yang mengeluarkan kenyataan melampau terhadap pemimpin utama negeri ini berkenaan isu solat Subuh.

“Saya mewakili Menteri Besar membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun FB berkenaan yang didapati memuat naik status berunsur fitnah yang saya sifatkan sebagai tuduhan melampau.

“Saya pernah membuat laporan polis atas fitnah sama dilemparkan terhadap Menteri Besar pada 8 Februari tahun lalu. Tapi nampaknya selepas setahun, ia ditimbulkan semula oleh pihak lain sedangkan pada kali pertama, Menteri Besar sudah memaafkan perbuatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Seremban, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kesal apabila fitnah terhadap pemimpin utama negeri itu semakin menjadi-jadi, sekali gus menimbulkan persepsi negatif.

Menurutnya, pihaknya tidak pasti motif pihak terbabit yang nyata tidak takut dengan undang-undang kerana sewenang-wenangnya menabur fitnah.

“Bagi saya tuduhan dilemparkan terlalu berat. Misalnya Facebook Tentera Semut kata Menteri Besar gadai maruah agama dengan nilai sikit kerana ceritakan solat subuh 7.30 pagi dan beritahu 50 peratus umat Islam negeri ini tak solat lima waktu.

“Pemilik akaun Saadon Abd Salam yang memberi komen atas kenyataan Tentera Semut itu pula kata mungkin Menteri Besar penganut agama majusi kerana pada 7.30 pagi, penganut agama itu menyembah matahari,” katanya.

Beliau berkata, melalui posting dimuat naik seolah-olah pemilik akaun memetik kata-kata daripada MB, sedangkan pada sidang media, beliau (Aminuddin) tidak pernah bercakap begitu.

Dalam pada itu, Mohd Faiz turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap berita atau maklumat diterima sebelum menyebarkannya atau memberi komen.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:40pm
d