mutakhir

Rumah Tukang Kahar dibuka untuk lawatan

Oleh Amran Yahya

RUMAH Kahar Siak Bakhi atau lebih dikenali dengan Tukang Kahar mula dibuka kepada pengunjung untuk lawatan pada 10 Februari lalu.

Rumah pada asal dibina di kampung halamannya di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah dipindahkan pada 2014 dan kini terletak bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad berkata, Tukang Kahar adalah tukang kayu dan pengukir mahir serta turut terbabit membina Istana Lama Seri Menanti pada 1902.

“Selain membina istana itu, hasil kerja tangan beliau dapat dilihat di beberapa masjid di sekitar Seri Menanti dan Kuala Pilah.

“Tukang Kahar mewarisi ilmu dan kemahiran pertukangan daripada bapanya iaitu Siak Bakhi yang juga bekerja sebagai tukang kayu dan berasal dari Acheh.

“Oleh kerana hasil tangannya unik, beliau hanya terbabit dalam kerja pertukangan untuk bangunan penting seperti istana dan masjid.

“Sebaliknya, beliau tidak terbabit dalam pertukangan rumah kecuali kediamannya sendiri bagi memastikan kualiti seni ukiran dihasilkan tetap terpelihara,” katanya ketika ditemui di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.

Shamsuddin berkata, Tukang Kahar membina rumahnya di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh pada 1880-an sebagai tempat tinggal beliau serta keluarga.

Beliau berkata, selepas Tukang Kahar meninggal dunia pada usia 60 tahun, beberapa kali perubahan pada binaan asal dilakukan pewarisnya.

“Antaranya, pada 1969, pangkal dan hujung serambi dirobohkan dan tidak berapa lama selepas itu rumah dapur pula dirobohkan dan digantikan dengan rumah dapur bawah separa batu-bata dan kayu.

“Dinding jendela sisi kiri diganti dengan dinding tindih kasih dan ditambah pula dengan bukaan tingkap kecil.

“Pada 1970-an pula, atap rumbia diganti dengan atap zink kerana berlaku kebocoran dan selepas itu tiada lagi perubahan dilakukan sehinggalah ia dipindahkan bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti,” katanya.

Shamsuddin berkata, pemindahan rumah Tukang Kahar ke kawasan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dilakukan kerana ia mempunyai kaitan sejarah dengan tukang yang membina Istana Lama Seri Menanti.

Beliau berkata, selepas selesai dibaik pulih, rumah ini dibuka kepada pengunjung bermula pada 10 Februari lalu untuk lawatan.

Katanya, selain dapat melihat keunikan ciri seni bina dan pertukangan Melayu, pengunjung berpeluang melihat pameran mengenai kerja pemuliharaan dilaksanakan serta dapat melihat replika rumah Tukang Kahar.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:59pm
d