mutakhir

Dalam bas pun jadi...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN lelaki warga Bangladesh melakukan aksi tidak senonoh di dalam sebuah bas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur mengundang padah apabila ditahan penumpang lain sebelum diserah kepada polis, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, suspek yang berdiri di dalam bas itu bertindak membuka zip seluar sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh kepada seorang wanita yang juga pelancong warga Indonesia berusia 23 tahun.

Menurut sumber, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 39 tahun yang menegur perbuatan suspek.

“Malah wanita itu bertindak berani mencekak kolar baju suspek dan meminta dia mengakui perbuatannya selepas lelaki itu menafikan apa dilakukannya.

“Dia turut cuba melarikan diri selepas perbuatannya itu terbongkar namun gagal apabila ditahan penumpang lain sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 7:48pm
d