mutakhir

Baling parang, tendang peguam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BUKAN hanya baling parang ke arah kereta, malah seorang lelaki turut bertindak menendang seorang peguam di pekarangan Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang peguam memaklumkan ada parang diletakkan di bonet keretanya pada 7.55 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa berada di tempat letak kereta peguam di luar pagar Mahkamah Jalan Duta dan sedang mengambil barang di bonet kereta.

“Dia kemudian terdengar bunyi hentaman pada kereta sebelum pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat sebilah parang di atas keretanya.

“Pada masa sama, mangsa melihat sebuah motosikal warna merah ditunggang seorang lelaki mula beredar dari kawasan itu sambil merenungnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika suspek beredar dari lokasi, dia menendang seorang lelaki yang juga peguam yang sedang berjalan menuju ke mahkamah sebelum melarikan diri.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 10:43pm
d