mutakhir

Empat nelayan tidak pulang

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

EMPAT nelayan hilang di laut selepas bot dinaiki mereka yang keluar menangkap ikan sejak 7 Februari lalu tidak pulang hingga kini.

Bot kelas A dengan nombor pendaftaran TRF 1178 yang dinaiki nelayan dari Kampung Losong, Kuala Terengganu.

Nelayan berkenaan yang dikhuatiri hilang itu ialah Azwan Yusof, 36; Walik Hafizul, 35; Hanafi Hampsa, 26, dan Mohd Faizan Musa, 29.

Adik Azwan, Mohd Amri Yusof, 33, berkata, kali terakhir dia menghubungi abangnya yang juga tekong bot pada 7 Februari lalu.

”Sepatutnya mereka pulang pada hari keempat atau hari kelima selepas ke keluar laut tetapi sehingga kini masih belum pulang.

“Saya cuba menghubungi abang tetapi gagal sebelum melaporkan kejadian itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amri berkata, abangnya menjadi nelayan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya dan nelayan di daerah ini akan berkerjasama untuk mencari abang dan awak-awak bot itu bermula esok.

“Harapan saya supaya abang pulang dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APMM Terengganu Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi mencari di perairan yang dipercayai bot itu menangkap ikan di kedudukan 63 nautika dari Kuala Terengganu.

“Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Jujur dari Kelantan akan menyambung operasi mencari bot itu esok.

“Sekiranya bot itu gagal ditemui, operasi pencarian akan dijalankan menggunakan pesawat udara,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 11:48pm
d