mutakhir

Anak tidak sah taraf boleh guna 99 nama Allah

Oleh Mohamed Farid Noh

ANAK orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, boleh dinamakan dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, langkah itu bagi mengelakkan anak tidak sah taraf berasa teraniaya atau menanggung aib di masa hadapan jika mereka hanya dibenarkan menggunakan bin atau binti Abdullah sahaja.

Katanya, Johor juga sangat mengalu-alukan langkah Mahkamah Persekutuan yang memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh menggunakan bin atau binti nama bapanya.

“Johor sudah mewartakan fatwa anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau bintikan bapa biologinya sejak 21 Mei 2018.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri juga sudah menitahkan supaya fatwa yang dibuat tidak menzalimi anak tidak sah taraf sekali gus mengaibkan mereka di masa hadapan.

“Di Johor, kita memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, boleh dinamakan dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah, menjadikan 100 nama bin atau binti untuk dipilih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 dilaporkan memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dilaporkan membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu dibin atau binti Abdullah.

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu dilaporkan berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).

Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 4:10pm
d