mutakhir

Mujur tak hilang RM200,000

Oleh Omar Ahmad

SEORANG bekas peneroka nyaris kerugian RM200,000 selepas menerima panggilan daripada sindiket penipuan yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menyelamatkan lelaki warga emas berumur 60 tahun dari mengalami kerugian besar.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat dari pihak bank warga emas berkenaan cuba mendepositkan RM200,000 ke dalam satu akaun pihak ketiga.

“Warga emas terbabit memaklumkan tujuan deposit adalah untuk pembelian tanah tetapi hasil soal siasat lanjut oleh Inspektor Villiam Prasad Francis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Tinggi mendapati lelaki itu terlebih dahulu menerima panggilan dari suspek yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan PDRM.

“Suspek memberitahu bahawa lelaki itu mempunyai tunggakan cukai dengan kerajaan dan sekiranya gagal diselesaikan boleh menyebabkan wang simpanannya dibekukan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa diarahkan untuk membuat pemindahan semua wang simpanannya ke dalam akaun pihak ketiga yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa juga diarahkan untuk merahsiakan perkara itu kerana kes itu adalah rahsia kerajaan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Ashmon, polis menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan yang meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan seumpama itu.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 4:51pm
d