mutakhir

Melaka sudah warta definasi anak tak sah taraf

Oleh Amir Mamat

JAWATANKUASA Fatwa Negeri Melaka sudah mewartakan definisi anak tidak sah taraf sejak 2005.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata ia diletakkan kepada beberapa bahagian dan di bawah Seksyen 38 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Oleh itu berdasarkan hukum syarak, jawatankuasa bersetuju bahawa anak tidak sah taraf tidak layak dibin atau dibintikan ayahnya.

“Sebaliknya mereka boleh dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah atau satu daripada nama Allah atau tidak dibin atau dibintikan langsung dengan nama lain,” katanya.

Abdul Halim meminta masyarakat Islam menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.

“Ia membuktikan syariat Islam menjaga institusi pernikahan dan kekeluargaan yang mengikut syariat. Demi kelangsungan generasi akan datang, status pendaftaran itu akan dapat membantu dan memudahkan urusan yang lain pada masa akan datang seperti pernasaban, perwalian serta faraid.

“Dalam hal ini, anak yang tidak sah taraf itu hendaklah diberikan kasih sayang, pendidikan, sokongan moral, perlindungan dan keyakinan bagi membina masa depan mereka. Sesunggunya, mereka tiada dosa dan kesalahan dalam perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan belia Islam untuk menjaga perilaku dan akhlak yang dianjurkan dalam Islam supaya mereka tidak terbabit dalam isu gejala sosial, hubungan seks bebas atau seks luar nikah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 7:56pm
d