mutakhir

Wanita warga emas maut digilis

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

WANITA warga emas maut selepas digilis kenderaan tidak dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenis dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Sungai Serdang/Jalan Kapar Batu 13, Klang, pagi hari ini.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, mangsa, P Annavey, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada seluruh tubuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan membabitkan motosikal Suzuki RC 100S ditunggang mangsa dan kenderaan tidak dikenali.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa datang dari Jalan Sungai Serdang menghala ke Jalan Kapar untuk ke Kuala Selangor.

“Semasa mangsa keluar simpang, kenderaan tidak dikenali yang datang dari arah Pekan Kapar menghala ke Kuala Selangor telah melanggar mangsa dan menggilisnya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa maut akibat parah seluruh anggota badan,” katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan setakat ini tiada saksi tampil dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan kenderaan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Azim Mazlan di talian 016-7086161.

Dalam pada itu, video mangsa digilis turut tular di laman sosial Facebook.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 8:54pm
d