mutakhir

Nur Aiman bukti rakyat Malaysia boleh

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KEJAYAAN pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff muncul sebagai Raja Bukit pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, membuktikan kemampuan atlit tempatan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia adalah kejayaan tertinggi pertama dicapai pelumba tempatan sejak penganjuran pertama LTdL pada 1996.

Katanya, pelumba tempatan mempunyai kebolehan dalam sukan lumba basikal peringkat dunia dan Muhamad Nur Aiman mungkin boleh menyertai perlumbaan Tour de France selepas ini.

“Ini adalah ke-25 kita menganjurkan perlumbaan tertinggi LTdL dan buat pertama kali pelumba Malaysia berjaya menyarung jersi merah (Raja Bukit).

“Ini menunjukkan bahawa pelumba kita ada kebolehan, yang penting mereka perlu berlatih sepanjang masa dan saya harap mereka dapat mencapai kejayaan lebih daripada ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah LTdL 2020 di Langkawi, hari ini.

Pada perlumbaan itu, pelumba pasukan Team Sapura Cycling (TSC), Danila Celano diangkat sebagai juara keseluruhan; Raja Pecut dimenangi pelumba NTT Pro Cycling Team, Maximilan Walscheid; Raja Bukit dimenangi pelumba TSC, Muhamad Nur Aiman dan pelumba terbaik Asia dimenangi pelumba Vino-Astana Motors (VAM), Yevgeniy Fedorov.

Dr Mahathir berkata, beliau berbangga kerana rakyat Malaysia kini meminati sukan basikal dan berharap ia terus berkembang kerana ia adalah sukan yang baik untuk tubuh badan.

“Setiap hujung minggu, kita dapat lihat ramai orang mengayuh basikal di seluruh Malaysia dan saya harap minat ini berterusan.

“Saya juga berharap LTdL dapat diteruskan dan pasukan Malaysia dapat mencapai kejayaan lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 8:59pm
d