mutakhir

Terima kasih Teacher Li Na

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“KERJA mencuci telekung dilakukan bersama warga Kolej Vokasional Seri Manjung (KVSM) dan apabila giliran saya, telekung akan dihantar ke kedai dobi muslim untuk menjaga kesucian kain kerana ia akan digunakan untuk solat,” kata seorang guru, Cheah Li Na.

Li Na yang lebih mesra disapa Teacher Li Na adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan projek mencuci telekung surau di Hospital Seri Manjung (HSM).

Dia yang juga Ketua Unit Pusat Sumber dan Media KVSM berkata, projek berkenaan dilakukan di bawah unit berkenaan dengan kerjasama HSM sejak Januari 2016.

“Projek mencuci telekung ini adalah kerjasama warga KVSM dan saya juga turut membantu. Walaupun berbeza agama tetapi ia bukan penghalang untuk saya melakukan kerja ini.

“Saya turut aktif sebagai sukarelawan The Third Force di sekitar Manjung dan bagi saya kerja kebajikan perlu dilakukan tanpa mengambil kira bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Manjung hari ini.

Menurutnya, dia mengakui sebagai seorang bukan Muslim agak terharu dengan kepercayaan yang diberikan untuk menguruskan projek berkenaan.

“Saya bertindak sebagai koordinator program dan menjalankan urusan penyusunan jadual penghantaran, penghantaran sukarelawan ke hospital dan senarai sukarelawan projek,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai projek mencuci telekung itu, Teacher Li Na berkata, objektif projek berkenaan untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan sejahtera.

Menurutnya, usaha itu bermula melalui program wakaf telekung lima tahun lalu dan pengarah kolej pada ketika itu, Intan Suhana Kamaruddin mencadangkan supaya mereka meneruskan dengan mencuci telekung surau di HSM.

“Pada minggu kedua dan keempat setiap bulan pasukan projek telekung akan ke surau HSM bagi mengumpul telekung untuk dicuci dan menghantar telekung yang sudah bersih.

“Semua dilakukan pensyarah dan kakitangan KVSM dengan tugas mengumpul serta menghantar, membersih, mencuci, seterika, melipat dan membungkus telekung sudah menjadi kebiasaan kepada kami, malah sukarelawan dari kalangan pelajar kolej turut bersama membantu,” katanya.

Menurutnya, projek itu menunjukkan semangat sukarelawan yang tidak jemu menyumbangkan masa dan tenaga demi menjamin kebersihan serta keselesaan orang ramai yang menggunakan telekung di surau hospital.

“Walaupun bekerja tanpa dibayar tetapi kami berpuas hati dan bersyukur kerana diberi peluang melaksanakan kerja amal untuk membantu orang lain.

“Usaha ini juga mendapat kerjasama dan nasihat daripada Ustazah Nor Sa’adah Abdullah Zawawi dari Unit Hal Ehwal Islam HSM dan Pengerusi Third Force Perak, Ustaz Syed Sharim Shayid Khalim,” katanya yang memaklumkan mereka turut mendapat penghargaan daripada HSM untuk khidmat itu pada tahun lalu.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 12:27am
d