mutakhir

Pembenihan awan selamatkan 84,500 pesawah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BAGI menyelamatkan 135,000 hektar sawah yang terjejas akibat kemarau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil langkah proaktif melakukan pembenihan awan di kawasan sekitar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), semalam.

Antara kawasan terbabit dengan pembenihan awam itu ialah Empangan Muda, Pedu dan Ah Ning yang menjadi punca bekalan utama air di Kedah serta Perlis.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Azman Mahmood berkata, inisiatif dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan negeri dijalankan ekoran keadaan yang semakin kritikal di kawasan itu.

Katanya, selain itu, operasi juga dapat menyelamatkan seluas 22,000 hektar sawah sedang diusahakan dengan anggaran hasil bernilai RM130 juta.

“Kita sudah meninjau kawasan terjejas susulan daripada lawatan Menteri Januari lalu dan mengadakan mesyuarat tergempar.

“Beberapa alternatif segera sudah diambil termasuk menyediakan ‘tubewell’ dan pam bergerak dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang menyumbangkan diesel.

“Menerusi langkah ini, kita berharap dapat membantu 84,500 pesawah di kedua-dua negeri bukan saja untuk sistem pengairan tetapi juga untuk memastikan keselamatan makanan negara kerana kawasan ini antara penyumbang terbesar padi negara,” katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, proses pembenihan semalam menggunakan 8,000 liter cecair campuran kalium iodida yang diterbangkan menggunakan pesawat TUDM.

Menurutnya operasi sama akan diteruskan esok dan ia tidak dijalankan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang dan Empangan Timah Tasoh, Perlis kerana tiada awan yang sesuai di kawasan itu serta kedudukannya yang begitu hampir dengan Thailand.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 11:00am
d