mutakhir

Bikin malu nama baik MPK

Oleh Ruwaida Md Zain

TIGA penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dikesan menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan terhadap warga asing di daerah ini.

Bagaimanapun semua mereka berusia 20-an hingga 30-an diberkas polis Isnin lalu susulan laporan diterima daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner, Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa lelaki warga asing berusia 29 tahun didatangi tiga penguatkuasa MPK memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Menurutnya, anggota penguatkuasa itu kemudian memeriksa dokumen rakan mangsa.

“Suspek kemudian memeras ugut sejumlah wang tunai sekiranya tidak mahu tindakan diambil terhadap rakan mangsa itu.

“Mangsa segera menghubungi bilik gerakan IPD Klang Utara sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian. Ketiga-tiga suspek diberkas beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya, semalam.

Nurulhuda berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

“Siasatan mendapati ketiga-ketiga suspek bekerja sebagai Penguatkuasa di MPK.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

MPK dalam kenyataan dikeluarkan sebelum itu bersedia memberi kerjasama kepada polis dalam menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan ini.

“Pihak Majlis juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib mengikut Kaedah-Kaedah Pekerja (Perlakuan Dan Tatatertib) Majlis Perbandaran Klang 1995 sekiranya didapati bersalah dan menjejaskan imej Majlis.

“Pihak Majlis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa oleh warga kerja Majlis,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 6:27pm
d