mutakhir

Guru elak babi, pelajar maut kemalangan

Oleh Roselan Ab Malek

PELAJAR maut, manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh kereta dipandu seorang guru yang mengelak melanggar seekor babi di Jalan Utama Jenderak Utara di Kuala Krau, dekat Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari, kereta Perodua Myvi dipandu guru lelaki dari arah Jenderak Selatan itu dipercayai memasuki laluan bertentangan selepas mengelak babi yang melintas jalan.

Insiden itu menyebabkan kenderaan dipandunya bertembung motosikal di laluan bertentangan mengakibatkan pembonceng motosikal, Nor Atiqah Sulaiman, 16, maut ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, selepas melanggar motosikal berkenaan, kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di sebelah kiri jalan.

Katanya, akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak di jalan sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.

“Pembonceng motosikal dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 8.35 malam,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 10:56pm
d