mutakhir

Cinta buah tin

Oleh BERNAMA

PEPATAH Melayu ada menyebut berbudi pada tanah pasti akan ada hasilnya dan jika disulami dengan rasa cinta terhadap tanaman itu, pasti pulangannya tidak mengecewakan.

Demikian dibuktikan oleh seorang guru agama, Hawari Wanik, 32, yang kini bergelar usahawan buah tin dengan mengusahakan ladang dikenali sebagai Ipoh Figs Farm di kawasan perkelahan Ulu Chepor seluas 0.40 hektar di Ipoh sejak 2017.

Menurut guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah itu, beliau mula mengusahakan tanaman buah tin pada 2014 bermula dengan 50 pokok pelbagai variasi di dalam pasu tepi rumah selepas ‘jatuh cinta’ dengan keunikan dan khasiat buah tersebut.

“Saya mula menanam secara suka-suka dekat kuarters dan tidak ada halangan, bila buah tin dah masak, kita makan sendiri sahaja dan penjualan lebih kepada anak pokok serta benih secara dalam talian sebelum ia semakin mendapat sambutan,” katanya.

Bermodalkan RM60,000 menggunakan duit simpanan dan keuntungan daripada hasil jualan secara dalam talian itu, Hawari mengambil langkah berani mengusahakan tanaman buah dengan nama saintifik Ficus Carica secara besar-besaran empat tahun lalu.

Hawari berkata, pada peringkat permulaan, mengusahakan ladang berkenaan secara bersendirian, beliau membina sebuah rumah pelindung hujan dan menanam sebanyak 336 anak pokok dari 20 variasi.

“Antara jenis pokok buah tin yang ditanam adalah Masui Dauphine, Constantine De Algerie, Super Red Hybrid, Long Neck Yellow, Moulinat, dan Bardissot Negra Rimada,” katanya.

Melihat potensi buah itu, dua rakan Hawari iaitu Khairil Amri Abdul Rahman, 43, dan Mohd Hafiz Helmi Md Hashim, 32, turut sama melabur bagi mengembangkan sayap perniagaan selain menubuhkan Persatuan Figgers Malaysia yang dianggotai pengusaha tanaman pokok buah tin komersial seluruh negara.

“Dengan usaha sama ini, sebanyak RM30,000 dikeluarkan untuk membina rumah pelindung hujan yang kedua dan setakat ini kami menanam lebih 500 anak pokok buah tin terdiri daripada 70 variati di kedua-dua buah rumah hijau itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 7:40am
d