mutakhir

4,000 sertai Larian untuk Wilayah

Oleh Suraya Roslan

KIRA-kira 4,000 warga kota menyertai Larian untuk Wilayah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Kuala Lumpur, hari ini.

Larian sejauh tujuh kilometer itu anjuran Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disertai peserta pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, Larian untuk Wilayah diadakan bersama dengan KL Car Free Morning untuk memberi galakan kepada warga kota mengekalkan gaya hidup sihat dengan amalan bersenam.

“Aktiviti sukan ini dianjurkan supaya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sekali gus mengisi masa lapang dengan beriadah di hujung minggu.

“Lebih menarik, larian kali ini disertai 20 Orang Kurang Upaya dan penganjur juga menyediakan satu kategori khas untuk pasangan mempunyai dua anak untuk lari bergandingan,” katanya ketika ditemui.

Shahruddin berkata, larian itu turut melalui kawasan dan jalan menarik sekitar ibu negara.

“Peserta juga berpeluang bergambar di tempat tarikan pelancong seperti Menara Berkembar Petronas, Bukit Nanas dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

“Larian yang diadakan setiap tahun ini menjadi salah satu ‘signature program’ Hari Wilayah Persekutuan,” katanya.

Katanya, peserta turut diberikan beg kitar semula yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti membeli-belah serta riadah selaras dengan misi kementerian bagi kempen pengurangan penggunaan beg plastik.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 9:51am
d