mutakhir

Nenek jadi tokan dadah

Oleh Juwan Riduan

NENEK berusia 60 tahun dipercayai tokan dadah kecil-kecilan di kawasan pekan Inanam di Kota Kinabalu, ditahan polis dalam Op Ice Breaker, petang semalam.

Dalam serbuan bermula 2 petang itu, wanita warga asing itu ditahan bersama lapan individu lain yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar pekan Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil penahanan wanita warga emas itu, polis merampas 28 paket straw berisi syabu.

“Wanita itu dipercayai menjadi pengedar dadah kecil-kecilan di pekan Inanam dan ketika diperiksa menemui sejumlah dadah dengan berat 5.4 gram dianggarkan bernilai RM800.

“Pemeriksaan lanjut wanita itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Habibi berkata, dalam operasi itu, polis menahan seramai 35 orang termasuk dua wanita.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk saringan air kencing dan didapati lapan termasuk dua wanita positif dadah jenis syabu.

“Tangkapan membabitkan lima warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 19 hingga 52 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) ADB 1952,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, operasi itu akan dijalankan secara berterusan khususnya di kawasan pekan Inanam.

“Operasi kali ini kita tumpukan di pekan Inanam kerana dipercayai adanya aktiviti pengedaran di kawasan ini (pekan Inanam).

“Bukan pengedar dadah yang berskala besar tetapi pengedar dadah kecil-kecilan dan ini yang kita hapuskan dulu sebelum pergi kepada ‘big fish’,” katanya.

Terdahulu, operasi membabitkan empat pegawai dan 30 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 12:03pm
d