mutakhir

Seludup patung ukiran gajah gagal

Oleh Rosyahaida Abdullah

CUBAAN membawa masuk patung ukiran gajah dari Indonesia ke negara ini tanpa permit berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, patung yang dimuatkan dalam tiga kotak kayu itu dianggar bernilai RM15,000 cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang Selatan, Klang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kapal tongkang yang masuk dari negara jiran itu menemui tiga kotak kayu berisi patung ukiran gajah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kotak kayu yang digunakan sebagai pembungkus patung itu tidak mempunyai sebarang permit import yang dikeluarkan MAQIS.

“Kotak kayu terbabit juga tidak dirawat mengikut syarat import yang ditetapkan MAQIS sebelum masuk ke Malaysia. Disebabkan itu, kesemua kotak berkenaan dirampas bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tarmisal berkata perbuatan mengimport sesuatu barangan pertanian tanpa permit yang sah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Ia boleh dihukum dibawah seksyen 11(3), akta sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua- duanya.

“Pihak kami akan terus komited melaksanakan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan,” katanya.

Tambah Tarmisal, ia adalah bagi memastikan sektor pertanian negara dalam keadaan yang terkawal daripada ancaman perosak dan juga penyakit.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 12:09pm
d