mutakhir

Roboh 17 garaj haram [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBANYAK 17 garaj yang dibina tanpa kebenaran di Flat Seberang Terus, Alor Setar dirobohkan, hari ini.

Operasi merobohkan garaj itu dilakukan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) selepas penduduk tidak mengendahkan arahan yang meminta menanggalkan struktur berkenaan.

Timbalan Setiausaha MBAS, Mohamad Rizal Mohd Radzi berkata, pihaknya melakukan pemantauan pada Disember lalu sebelum penduduk diberi notis untuk perobohan pada 14 Januari lalu.

“Sepatutnya perkara ini diselesaikan dalam tempoh seminggu, namun tidak diendahkan penduduk, menyebabkan operasi ini dijalankan.

“Dalam operasi ini, 50 anggota penguat kuasa terbabit dan binaan diroboh menggunakan jengkaut serta peralatan lain bersesuaian,” katanya ketika ditemui di pejabat MBAS, hari ini.

Mohamad Rizal berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Seksyen 46 (3) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Struktur garaj seperti bumbung dan besi disita dan dipindahkan ke stor bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, penduduk perlu patuh kepada peraturan yang menetapkan sebarang binaan di kawasan kediaman perlu mendapat kelulusan MBAS.

Beliau berkata, binaan struktur haram boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 46(1)(a) akta sama.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 2:44pm
d