mutakhir

Penguat kuasa DBKL jaga Saloma Link

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

ANGGOTA penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan di jambatan pejalan kaki Saloma Link, lokasi tarikan terbaru pelancong di ibu kota bagi mengelak daripada dicemari vandalisme dan gelandangan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, masalah vandalisme dan gelandangan dijangka berlaku khususnya di lokasi tarikan pelancong sekitar ibu kota yang sudah dibaik pulih untuk kemudahan awam.

Menurutnya, untuk jangka masa panjang, DBKL akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tumpuan umum untuk memastikan tiada masalah gelandangan dan vandalisme berlaku seterusnya memudahkan pemantauan.

Katanya, DBKL akan meletakkan 120 penguat kuasa yang bertugas empat syif bagi membolehkan lokasi strategik seperti Saloma Link dipantau dan tidak dicemari dengan perbuatan yang merosakkan pemandangan serta harta awam.

“Di Kuala Lumpur, kita sediakan lokasi yang cantik tapi di situ juga mereka (gelandangan) dan vandalisme akan berlaku. Kami akan bawa gelandangan ini ke rumah transit untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui di Kenduri Rakyat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020, hari ini.

Jambatan pejalan kaki, Saloma Link sepanjang 370 meter itu dibina berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghubungkan Jalan Saloma terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang.

Sejak 5 Februari lalu, lokasi terbaru itu menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara bergambar berlatarkan Menara Berkembar Petronas.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 3:58pm
d