mutakhir

Peragut tumpas langgar kereta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

CUBAAN seorang lelaki meragut beg tangan milik wanita warga Indonesia gagal apabila motosikal dinaikinya berlanggar dengan kereta ketika cuba melarikan diri di Taman Bukit Permata, Selayang, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi, suspek meragut beg tangan wanita berkenaan sebelum melarikan diri melawan arus.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketika cuba melarikan diri, suspek gagal mengelak sebuah kereta di jalan bertentangan sebelum jatuh.

“Suspek mengalami kecederaan serius di bahagian kaki akibat rempuhan berkenaan. Beg tangan wanita itu berjaya diselamatkan orang awam.

“Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya.

Arifai berkata, mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan keterangannya juga sudah diambil.

“Polis merampas motosikal digunakan suspek untuk meragut, beg silang dan telefon bimbitnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 10:08pm
d