mutakhir

Kenangan terakhir Chot dan Abam

Oleh Nazri Abu Bakar

“SAYA amat terkejut apabila mendapat berita Abam sudah tiada berikutan sempat bertemu Allahyarham tiga hari sebelum dia meninggal dunia,” kata Chot Raja Lawak.

Baginya, pertemuan kira-kira 20 minit di Bandar Hilir, Melaka Khamis minggu lalu adalah kenangan terakhir buatnya dengan rakan baiknya itu.

Menurutnya, mereka sempat bertanya khabar, bergurau dan bercerita berkaitan perkembangan terkini masing-masing serta berbicara berkaitan anaknya berusia tujuh bulan dan anak Allahyarham berusia lima bulan.

“Allahyarham mengadu tidak sihat dan memaklumkan berkaitan perancangan dan perjalanan projeknya. Bagaimanapun tiada sebarang perubahan ketara dapat dilihat pada pertemuan itu.

“Akibat Allahyarham tidak begitu sihat saya hanya berbicara dengannya sambil dia berada di dalam kereta sahaja. Namun pertemuan itu tetap berjalan baik dan sesuatu yang manis untuk saya kenang sebagai sahabat yang sukar dicari ganti,” katanya.

Malah, pada malam itu mereka sempat berkonvoi mencari cendol, namun sampai ke destinasi Allahyarham tidak turun dari keretanya, sebaliknya hanya membungkus sahaja minuman itu.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia lima bulan, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Chot atau nama sebenarnya Hazmeer Hassan berkata, sepanjang berkawan dengan Allahyarham dia mendapati rakannya itu amat positif, kerap memberi nasihat dan prihatin dengan dirinya dan rakan lain.

Ia terbukti apabila Chot yang juga anggota kumpulan XOXO dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) yang kini penyampai radio sambilan di Melaka FM pernah tinggal kira-kira sebulan di rumah Abam selepas program ‘Bintang Mencari Bintang’ pada 2013.

“Kebiasaannya kami makan bersama Allahyarham, adiknya Ali dan ibunya. Malah saya sering menikmati air tangan Abam yang sering memasak.

“Kami tidur santai bersama-sama di ruang tamu rumah kediaman keluarga Abam. Layanan mereka sekeluarga amat baik dan memang sukar dilupakan,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 11:31am
d