mutakhir

Seorang lagi ditahan kes Batu Caves

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan dan provokasi terhadap pegawai imigresen yang melakukan operasi di Kuil Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki berusia 38 tahun terbabit ditahan di sekitar Batu Caves pada 9 malam tadi.

“Setakat ini, kami sudah menahan tiga individu berusia antara 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan kes berkenaan selain 70 tangkapan lain bagi tempoh sebelum perayaan Thaipusam hingga semalam menerusi Operasi Cantas (Op Cantas).

“Malah, akan ada lagi tangkapan susulan dibuat dalam kes terbabit termasuk membabitkan individu kelihatan dalam video tular berkaitan insiden berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Noor Azam berkata, pihaknya akan melakukan siasatan membabitkan semua aspek bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan termasuk berkaitan gangsterism.

“Buat masa ini, kami masih melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 186/506 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas dan ugutan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan dua lelaki berusia 47 dan 56 tahun ditahan di sekitar Batu Caves bagi membantu siasatan kes terbabit.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 58 saat menunjukkan sekumpulan orang awam cuba membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguat kuasa imigresen tular di media sosial sejak kelmarin.

Kejadian itu didakwa berlaku di tapak perniagaan yang terletak di perkarangan Kuil Subramaniar Swamy ketika 50 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor cuba membuat operasi ke atas peniaga haram dari India dan Pakistan.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 11:40am
d