mutakhir

Rumah, kereta, motosikal hangus

Oleh Syaherah Mustafa

SEBUAH rumah, kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Telaga Nibong, Kota Bharu, 7.30 malam tadi.

Pemilik rumah itu, Zulkifli Baba, 37, berkata dia menyedari rumah pusaka peninggalan datuknya itu terbakar selepas terdengar dentuman kuat ketika sedang menjamu selera di rumah ibunya yang terletak bersebelahan.

Katanya, dia segera keluar dari rumah ibunya dan melihat kediaman didiaminya seorang diri itu sudah terbakar dan api sedang marak.

“Saya cuba masuk untuk menyelamatkan barangan berharga termasuk sebuah motosikal diletak di dapur rumah, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Malah, kereta Perodua Viva milik adik yang diparkir di sebelah rumah tidak dapat diselamatkan menyebabkan separuh kenderaan itu hangus terbakar.

“Selepas datuk meninggal dunia, saya tinggal seorang diri di rumah ini yang terletak bersebelahan dengan rumah keluarga saya.

“Memang tidak ada banyak barangan elektrik, malah saya tidak pernah memasak di rumah ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zulkifli reda dengan kejadian itu, namun terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan dokumen penting termasuk kad pengenalan diri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.38 malam sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai 22 anggota termasuk pegawai membantu memadamkan kebakaran dan api dapat dikawal 10 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan rumah jenis separuh kekal ini musnah 80 peratus akibat terbakar. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 11:48am
d