mutakhir

Maut dilanggar ketika buat pusingan U

Oleh Hassan Omar

SEORANG pesara polis maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta ketika membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara, Alor Gajah, petang semalam.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, Allahyarham Jahi Mahat, 65, meninggal dunia selepas motosikal Modenas Kriss ditunggangnya berlanggar dengan Volkswagen Tiguan dipandu penyelia tapak pembinaan berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Taman Seri Sutera, dalam perjalanan dari arah bandar raya Melaka dipercayai ingin membuat pusingan U ke arah bandar raya berkenaan.

“Pemandu kereta dalam perjalanan dari Simpang Ampat ke bandar raya Melaka dan setibanya di tempat kejadian, pemandu meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.

“Bagaimanapun pemandu itu terlanggar motosikal ditunggang mangsa yang dipercayai membuat pusingan U ke arah bandar raya Melaka dan kejadian itu disaksikan seorang lelaki berusia 41 tahun,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan jenazahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu terbabit tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 12:27pm
d