mutakhir

Nik Ezanee KPD Petaling Jaya baharu [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ASISTEN Komisioner (ACP) Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Pentadbiran), Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Petaling Jaya baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin.

Nik Ezanee, 42, berkata, beliau amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab dan kepercayaan besar daripada pucuk kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengalas tanggungjawab memegang jawatan itu.

“Saya akan teruskan usaha dijalankan dilakukan Mohd Zani dan kami sudah berbincang mengenai perkara itu bagi mengurangkan kadar jenayah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sementara itu, Noor Azam berkata, beliau yakin dengan kredibiliti Nik Ezanee untuk memimpin IPD Petaling Jaya dengan cemerlang.

“Tahun lalu, IPD Petaling Jaya mencatatkan 3,117 kes dengan penurunan indeks sebanyak 228 kes iaitu 6.82 peratus selain menumpaskan beberapa kumpulan penjenayah seperti samun, larikan kenderaan, pecah rumah serta samun kedai serbaneka.

“Diharap Ketua Polis Daerah baharu ini berjaya memimpin IPD Petaling Jaya dengan lebih cemerlang,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:20pm
d