mutakhir

19 kes jenayah pelajar sekolah di Sabah

Oleh Juwan Riduan

SEBANYAK 19 kes jenayah direkodkan di seluruh Sabah membabitkan pelajar sekolah menengah bagi tempoh Januari lalu hingga kini.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, daripada jumlah kes itu, enam kes membabitkan jenayah rogol, pecah rumah (tiga) dan curi motosikal (satu).

“Kes rogol berlaku di luar waktu sekolah yang biasanya berlaku bukan dalam situasi yang kita tahu dan mereka kebanyakannya bersendirian.

“Oleh itu, kerjasama rapat antara pihak sekolah dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis menjadi mekanisme terbaik mencegah pembabitan pelajar dalam sebarang kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass pada program pelancaran ‘Jom Ke Sekolah’ di dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas di Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Beliau berkata, jumlah PPS yang ditempatkan di sekolah seluruh negeri ini seramai 392 orang iaitu 208 di SMK dan Sekolah Kebangsaan (SK) seramai 184 orang.

“PPS ini bertanggungjawab untuk datang ke sekolah setiap dua minggu sekali dan bergantung kepada perbincangan pihak sekolah jika ada perkara-perkara yang penting untuk disampaikan.

“Kita akan mengadakan dialog dan ceramah di sekolah dan ini juga bergantung dengan keadaan waktu yang sesuai untuk pihak sekolah anjurkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:25pm
d