mutakhir

Banjir kilat landa Bintulu

Oleh Erika George

BEBERAPA kawasan rendah di Bintulu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Antara yang terjejas ialah kawasan setinggan Tanjung Kidurong dan Sebatang termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew dan Jalan Sebiew yang ditenggelami air sedalam 0.3 ke 0.5 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, seramai empat anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan serta kerja menyelamat mangsa sejurus menerima panggilan sekitar jam 3.30 pagi.

“Pemantauan yang dijalankan ke atas kawasan terjejas mendapati paras air berada dalam keadaan terkawal dan tidak mencatatkan peningkatan, namun pihak bomba akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya tidak menjejaskan penduduk terbabit,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, 10 mangsa terjejas iaitu lima lelaki dan wanita, bagaimanapun ia tidak membabitkan pemindahan kerana paras banjir masih lagi terkawal.

Beliau berkata, kawasan terjejas adalah antara kawasan rendah di bahagian ini yang kerap dilanda banjir setiap kali selepas hujan lebat melanda.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:33pm
d