mutakhir

'Kak, tolong urus budak ni' [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

“KAK, tolong urus budak ini, saya jumpa di tempat letak kereta,” itu pesanan seorang lelaki ketika meninggalkan kanak-kanak berusia enam tahun di sebuah kedai di belakang pasar raya Kok Lanas, Kota Bharu, selepas dilarikan di Kampung Kemubu.

Saksi kejadian, Siti Rakna Mat Hassan, 60, berkata, ketika itu, dia sedang mengupas bawang di belakang kedai sebelum melihat seorang lelaki memakai baju hitam sambil memegang tangan seorang kanak-kanak lelaki.

Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan budak itu ditemui sedang bermain di tempat letak kereta dan nyaris dilanggar.

“Lelaki itu meminta saya menguruskan budak itu dengan alasan dia mengejar waktu sebelum keluar dari kedai. Pada mulanya saya beranggapan mereka dua beranak.

“Selepas ditinggalkan, budak itu hanya diam dan minum air coklat sebelum ada dalam kalangan kami mengetahui kanak-kanak ini adalah individu sama yang dilarikan perompak.

“Kami kemudiannya menghubungi polis sebelum tiga anggota hadir mengambil kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Siti Rakna berkata, selepas mengetahui kanak-kanak itu adalah mangsa yang dilarikan perompak, dia menangis kerana mengenangkan kejadian yang berlaku.

“Budak itu tidak melawan langsung datang bersama-sama dengan lelaki berkenaan. Hanya tenang dan mungkin dalam keadaan terkejut,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:46pm
d