mutakhir

Usah sorok kes jenayah di sekolah

Oleh Zaid Salim

PIHAK sekolah di Terengganu diingatkan supaya tidak menyembunyikan jenayah membabitkan pelajar seperti buli, gaduh dan jenayah lain yang berlaku dalam kawasan sekolah.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, bagi memastikan jenayah dalam kalangan pelajar tidak berulang, pihak sekolah perlu mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit atau membuat laporan polis dengan segera.

“Jika kes itu serius dan mendatangkan kecederaan, pihak sekolah boleh mengambil tindakan segera atau terus membuat laporan polis bagi memudahkan polis menjalankan siasatan.

“Pihak sekolah tidak seharusnya menyembunyikan jenayah terutama kes buli dan gaduh atau bersabit dengan penyalahgunaan dadah atau lain-lain jenayah kerana ia boleh menyebabkan jenayah membabitkan pelajar berulang dan tidak akan berkesudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Jom Ke Sekolah dan Pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Peringkat negeri 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Kuala Terengganu, hari ini.

Program kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan serentak di seluruh negara. Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Abd Ghani.

Roslee berkata, sepanjang tahun lalu, jenayah indeks di negeri ini meningkat sebanyak 2.58 peratus apabila kes dengan 1,870 kes direkodkan pada 2019 berbanding 1,853 kes pada 2018.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kes membabitkan pelajar sebanyak 42 kes pada 2019 berbanding 88 kes pada 2018 dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 52 peratus.

“Meskipun terdapat penurunan kes, ia masih membimbangkan kerana masih berlaku di sekolah dan pelajar tidak sepatutnya terbabit dalam jenayah.

“Antara jenayah dikaitkan dengan pelajar seperti kes rogol secara berkumpulan, ugutan jenayah, kes yang mendatangkan kecederaan, curi serta berkaitan dengan dadah iaitu sebanyak 34 kes pada 2018 dan satu kes pada 2019,” katanya.

Roslee berkata, PPS dan kadet polis sekolah hendaklah memainkan peranan bagi membendung jenayah yang berlaku di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya akan memantapkan lagi peranan PPS dan kadet polis dalam mencegah dan memerangi jenayah di sekolah.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 2:47pm
d