mutakhir

Kutip 5.1kg puntung rokok

Oleh Hassan Omar

SEJUMLAH 5.1 kilogram puntung rokok dikutip di Jalan Hang Tuah, Melaka dan sekitarnya, sempena kempen menggalakkan komuniti berhenti merokok, hari ini.

Aktiviti itu dijayakan 170 sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit program Melaka Bebas Asap Rokok dan dirasmikan Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM), Datuk Haron Md Dom.

Dalam ucapannya, Haron meminta lebih ramai anggota komuniti terbabit kempen seperti itu bagi membantu mewujudkan masyarakat bebas asap rokok.

Selain itu katanya, mahu membantu mengurangkan perokok di Melaka.

Seorang sukarelawan, Ramlah Salleh, 43, dari Skuad Elit Jiran Wanita (SEJIWA) Zon 2 berkata, dia enggan memikirkan kotornya puntung rokok yang dikutip.

“Sebaliknya, saya fokus kepada usaha ini satu langkah murni untuk mengurangkan perokok dan memberi kesedaran kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peringgit, Sulaiman Abdul Karim, 43, berkata, aktiviti itu memberi mesej jelas kepada perokok supaya menghentikan tabiat menghisap rokok serta membuang puntung di merata tempat.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 2:54pm
d