mutakhir

Sarawak terus iktiraf UEC

Oleh Melvin Joni

KERAJAAN Sarawak akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia memberi manfaat kepada anak Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ini kerana UEC boleh menjadi pintu masuk untuk anak Sarawak melanjutkan pelajaran ke universiti antarabangsa seperti di China, Amerika Syarikat dan Singapura.

“Pendidikan adalah penting dan kami (kerajaan Sarawak) akan menyokong sekolah vernakular Cina.

“Saya memberi jaminan akan terus mengiktiraf UEC kerana ia juga diiktiraf oleh universiti antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, China dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Sambutan Ulang Tahun Ke-41 dan makan malam Tahun Baru Cina Persekutuan Persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.

Abang Johari menambah keputusan kerajaan Sarawak mengiktiraf UEC juga akan memberi manfaat kepada seluruh anak Sarawak kerana terdapat ramai pelajar Bumiputera termasuk Melayu yang belajar di sekolah vernakular Cina.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata kabinet Sarawak bersetuju memberikan sebidang tanah di tengah bandaraya Kuching kepada Persekutuan Persatuan Cina Sarawak untuk membina ibu pejabatnya.

“Ini sebagai Ang Pow kami kepada Persekutuan Persatuan Cina Sarawak,” katanya.

Justeru, beliau berharap ia akan mengukuhkan kerjasama antara Persekutuan Persatuan Cina Sarawak dengan kerajaan Sarawak dalam membangunkan ekonomi negeri.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Richard Wee.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 3:43pm
d