mutakhir

Mujur murid dah pulang...

Oleh Adnan Ibrahim

“SYUKUR semua murid sudah pulang, jika tidak sudah pasti ada perkara tidak diingini berlaku,” kata Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Ulu Penggeli, Siti Zarina Md Zahar susulan sekolah itu dilanda angin kencang semalam.

Menurut Siti Zarina, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar bumbung tiga blok bangunan sekolah yang menempatkan bilik darjah dan bilik guru tercabut diterbangkan angin kuat.

Katanya, susulan kejadian itu turut menyebabkan tujuh bilik darjah termasuk kelas pra-sekolah, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik guru besar, surau, dewan peperiksaan dan bilik pemulihan tidak dapat digunakan.

“Hari ini murid terpaksa belajar di Balai Muafakat, kantin, makmal dan perpustakaan, manakala murid pra-sekolah diberikan cuti dua hari sebelum satu keputusan lain untuk menempatkan kelas mereka dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Md Said Md Daimon yang meninjau sekolah yang mempunyai 174 murid itu berkata, pihaknya akan melakukan kerja baik pulih dengan segera.

“Tindakan itu perlu bagi membolehkan semua murid dapat ditempatkan dalam bilik darjah masing-masing manakala guru boleh meneruskan tugas.

“Manakala penggantian bumbung untuk satu lagi blok bangunan hanya boleh dilakukan selepas penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya dalam tempoh terdekat,” “katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 4:02pm
d