mutakhir

Alhamdulillah, ramai nak bantu Khairul Yap...

Oleh Yusmizal Dolah Aling

HASRAT pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Khairul Yap untuk membawa ibunya mengerjakan umrah bakal menjadi kenyataan apabila beberapa pihak tampil menyatakan kesediaan membantu.

Pengarah Kids With Purpose Project (KWPP), Mohd Farez Atan berkata, pihaknya dihubungi beberapa badan amal yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pelajar itu serta keluarganya selepas kisahnya disiarkan Harian Metro, Sabtu lalu.

Katanya, beberapa aktivis masyarakat juga tampil memberikan cadangan dan nombor telefon untuk dihubungi.

“Perkembangan mengenainya akan diketahui dalam masa terdekat. Alhamdulillah, ada yang menyatakan simpati dan meminta saya merujuk kepada beberapa pihak yang sebelum ini pernah membantu insan seperti Khairul.

“Saya akan hubungi mereka untuk berbincang kalau ada ruang untuk Khairul dan ibunya pergi mengerjakan umrah satu hari nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan Khairul, 13, yang baru kematian ayahnya dua minggu lalu berhasrat membawa ibunya ke Makkah selain mahu menjadi ustaz.

Dia menyatakan niat murninya itu kepada Mohd Farez selepas mendapat bantuan makanan daripada KWPP menerusi Kindness Corner di sekolahnya.

Bukan itu saja, dia juga meminta bantuan untuk mendapatkan bahan bacaan serta belajar mengaji al-Quran untuk meningkatkan penguasaannya.

Berita berkaitan

'Cikgu, tolong ajar saya mengaji' [METROTV]

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 4:21pm
d