mutakhir

Permohonan temubual IO SPRM didengar Isnin

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Isnin depan bagi mendengar permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menemubual pegawai penyiasat (IO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pembelaan dan pendakwaan menyediakan hujahan masing-masing.

Terdahulu, peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah pihak pembelaan sepatutnya menemubual Mohd Nasharudin Amir iaitu IO kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Sabtu lalu, bagaimanapun saksi itu enggan berbuat demikian pada saat akhir.

“Beliau membatalkan temubual itu. Saksi pada awalnya bersetuju untuk ditemubual pada Sabtu. Pada pagi hari berkenaan semasa saya sedang bersiap sedia untuk menemubual, saksi memaklumkan beliau tidak mahu ditemubual.

“Adalah penting untuk mendapatkan perbicaraan yang adil bagi pasukan pembelaan Najib pada perbicaraan peringkat ini. Kami mempunyai hak temubual saksi supaya boleh mendapatkan keterangan relevan dan tiada keterangan tidak munasabah dikemukakan di mahkamah,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhujah seorang saksi boleh memilih untuk tidak ditemubual sebelum memberi keterangan sebagai saksi kerana itu merupakan proses biasa dan mahkamah tidak mempunyai kuasa mengarahkan saksi ditemubual terlebih dahulu.

“Ini bukan pertama kali berlaku. Yang Arif, saksi sudah berada di bilik saksi dan beliau sudah bersedia untuk memberi keterangan, tanpa mengira sama ada beliau mahu ditemubual pihak pembelaan atau tidak,” katanya.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung Isnin.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 4:26pm
d