mutakhir

Terima kasih atas doa kalian

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“TERIMA kasih kepada yang mendoakan, saya mahu segera sembuh dan tidak sabar mahu bertugas semula,” kata Muhammad Faris Latif, 20, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Bagan Jermal.

Muhammad Faris adalah seorang daripada empat anggota bomba yang cedera ketika memadamkan kebakaran di Lebuh Carnavon, Georgetown apabila dihempap runtuhan dinding bangunan, Rabu lalu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, keadaan kesihatannya kini semakin pulih, namun bahagian belakang badan masih sakit.

“Selepas dihempap dinding, rahang pipi kanan saya masih sakit sekali gus sukar makan dan pergerakan di rumah dibantu oleh ibu dan abang.

“Saya sudah beberapa kali melakukan imbasan x-ray dan didapati tiada kecederaan serius, namun doktor minta buat ujian semula (hari ini) berikutan kesakitan belakang badan belum pulih,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Faris menerima kunjungan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin di Jalan Tan Sri Teh Hwe Lim, Batu Lancang, Georgetown.

Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba 1 Muhammad Tarmizi Md Jaafar.

Dalam kejadian itu, Muhammad Faris menerima rawatan selama 10 jam di hospital sebelum dibenarkan pulang manakala tiga lagi anggota PBS hanya cedera ringan.

Mengulas mengenai kejadian, Muhammad Faris berkata, dia tidak menyangka dinding berkenaan akan runtuh lalu menimpa mereka sebelum penglihatannya kabur dan sukar bernafas.

“Ia menjadi pengalaman berharga kepada saya dan anggota bomba lain supaya menjalankan kerja dengan berhati-hati, malah saya juga sudah tidak sabar hendak kembali bertugas.

“Saya berharap kebajikan terhadap anggota PBB dipelihara kerana cabaran dan risiko yang dihadapi ketika bertugas,” katanya yang meminati bidang berkenaan sejak kecil.

Sementara itu, Mohd Hafiz Hafizal berkata, walaupun pendapatan Muhammad Faris bergantung kepada gaji harian, namun anggota PBB turut dilindungi skim insurans.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kebakaran di tiga rumah kedai dua tingkat turut membabitkan operasi menyelamat seramai 73 warga emas di rumah jagaan orang-orang tua yang terletak hanya enam meter dari lokasi.

Berita mengenai tindakan pantas serta kecederaan dialami anggota bomba itu mendapat perhatian warganet yang memohon kesejahteraan dan keselamatan mereka semasa bertugas.

Berita berkaitan

Empat bomba cedera padam kebakaran

Apa-apa pun selamatkan mereka dahulu... [METROTV]

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 4:49pm
d