mutakhir

Dua pasangan suami isteri dalang pengedaran ganja

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA pasangan suami isteri antara enam individu terbabit dengan sindiket pengedaran ganja ditahan dalam lima serbuan di sekitar Kajang dan Pulau Pinang pada 11 hingga 14 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga ejen insurans ketika menaiki kereta Perodua Axia di Bandar Baru Bangi, jam 6 petang, 11 Februari lalu.

“Pemeriksaan dalam kereta itu menemui satu ketulan mampat ganja seberat 526 gram bernilai RM1,315 yang disembunyikan bawah kerusi penumpang hadapan.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan isteri suspek yang juga ejen insurans berusia 30 tahun di rumah mereka di Sungai Ramal Dalam pada hari sama.

“Kami menemui 15 ketulan mampat ganja seberat 15.6 kilogram (kg) bernilai RM39,000 dalam bilik di rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di Kajang, hari ini.

Susulan penahanan pasangan suami isteri itu, Noor Azam berkata, mereka menahan penuntut lelaki sebuah universiti awam di Pulau Pinang berusia 24 tahun di parkir kereta di sebuah rumah negeri itu pada jam 7 petang, 13 Februari lalu.

“Pemeriksaan dalam kereta jenis Honda Accord menemui 25 ketulan mampat ganja seberat 24.7 kg di tempat duduk penumpang belakang pemandu dan 20 ketulan ganja seberat 19.7 kg kilogram dalam bonet. Jumlah keseluruhan rampasan seberat 44.4 kg bernilai RM111,000.

“Bagi serbuan keempat dan kelima pada 14 Februari lalu, kami menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 34 dan 32 tahun di sebuah rumah di Jalan Ayer Hitam, Pulau Pinang yang menemui 23 ketulan mampat ganja seberat 23 kg bernilai RM57,500 dalam stor di kediaman berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kemudian menahan pemandu teksi berusia 57 tahun di sebuah rumah di Jalan Ayer Hitam dan merampas 20 ketulan mampat ganja seberat 20.1 kg bernilai RM50,250 di sebuah bilik.

“Suspek keenam yang juga bapa mentua kepada lelaki ditahan di Jalan Ayer Hitam itu mendedahkan lokasi simpanan ganja sindiket berkenaan yang membawa kepada penemuan 84 ketulan mampat ganja seberat 83.5 kg bernilai RM208,800 di sebuah rumah di Bayan Lepas selain menemui pistol bersama 13 peluru hidup.

“Keseluruhan dadah yang dirampas adalah 188 ketulan mampat ganja seberat 187.1 kg dianggarkan bernilai RM467,900 dan boleh dibekalkan kepada 37,420 penagih ,” katanya.

Noor Azam berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak lima tahun lalu adalah mendapatkan bekalan dari negara jiran dan disimpan di Pulau Pinang sebelum diedarkan di Lembah Klang.

“Bonet kenderaan digunakan untuk membawa ganja berkenaan diubah suai supaya mempunyai ruang rahsia pada bahagian pembesar suara untuk mengelak dikesan polis.

“Ahli sindiket terdiri daripada individu yang mempunyai pertalian keluarga termasuk suami isteri dan bapa mentua. Rekod mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ganja dengan seorang daripada mereka memiliki empat rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menyita tiga kenderaan, wang berjumlah RM4,360 dalam dua akaun bank, dua motosikal dan wang tunai RM13,000 dengan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM181,260.

“Semua suspek direman selama 10 hari bermula 12 hingga 21 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.

“Ini adalah sindiket kelima berjaya ditumpaskan Kontinjen Selangor pada tahun ini. Kami akan bekerja dengan lebih agresif bagi membanteras sindiket dadah secara total,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:03pm
d