mutakhir

Fatwa Bitcoin jika cukup syarat - Mufti Johor

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JOHOR akan membuat fatwa berhubung pembayaran zakat ke atas aset mata wang digital bitcoin jika pelaksanaannya cukup syarat.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, sehingga kini btcoin dan mata wang cripto masih dalam peringkat kajian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai urusetianya.

“Apabila ada keputusan bersama antara negeri-negeri nanti, kita akan laksanakan secara selaras.

“Bila pelaksanaan semuanya menepati hukum syarak, cukup segala syarat-syarat wajib zakat, kita akan fatwakan bersama garis panduan dan kaedah pengiraan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Fatwa Perlis memutuskan, sebarang aset digital bitcoin perlu dikenakan zakat apabila mencukupi syarat dalam pemilikannya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Jawatankuasa Majlis Fatwa Perlis dalam keputusannya pada Julai lalu, menetapkan sebarang pemilikan aset digital berupa bitcoin dikenakan zakat sekiranya ia cukup haul (jangka masa simpanan) dan nisab (kadar yang diwajibkan).

Sebelum ini, timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat dalam pembayaran zakat aset digital menyebabkan ramai pemilik bitcoin tidak mengeluarkan zakat, walaupun simpanan mereka sudah cukup haul.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:07pm
d