mutakhir

Empat 'profesor' dadah diberkas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEGIATAN empat lelaki menjadikan sebuah kondominium di Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, sebagai makmal mini dadah sejak dua bulan lalu terbongkar selepas diserbu polis, Rabu lalu.

Dalam serbuan 1 pagi itu, dua lelaki warga Taiwan, seorang warga China dan seorang lelaki tempatan dari Gurun, Kedah yang berusia 30 hingga 49 tahun ditahan.

Pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM2 juta turut dirampas menerusi operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 27.5 kilogram ketamin, 16.4 kilogram cecair ketamin dan 1,425 pil ekstasi.

Menurutnya, turut dirampas adalah peralatan untuk memproses dadah yang mana dadah diproses mampu dipasarkan kepada 45,000 orang.

“Dadah itu untuk pasaran Lembah Klang dan luar negara jika mendapat permintaan dan mereka ini dianggap seperti ‘profesor’ kerana mampu memproses untuk dijadikan dadah sebelum dijual.

“Kediaman itu pula disewa sejak dua tahun lalu dengan bayaran RM2,500 sebulan, namun ia dijadikan makmal mini dadah sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, semakan mendapati seorang daripada warga Taiwan mempunyai dokumen perjalanan diri yang sudah tamat tempoh, manakala seorang lagi rakannya tidak memiliki sebarang dokumen.

“Lelaki warga China terbabit juga didapati tinggal lebih masa selepas semakan mendapati dokumen perjalanannya tamat tempoh.

“Manakala, suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta Mercedes Benz E300, Honda Accord, wang tunai RM1,000, mata wang China 1,000 Yuan (RM592.86) dan mata wang Indonesia 1,050,000 rupiah (RM301.03).

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sitaan adalah RM2.23 juta, manakala ujian saringan air kencing keempat-empat mereka positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

“Suspek direman seminggu bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:23pm
d