mutakhir

RM30,000 baiki enam rumah rosak

Oleh Mohd Khidir Zakaria

ENAM rumah di tiga kampung di Chuah, Port Dickson yang rosak akibat ribut, kelmarin mendapat perhatian Kerajaan Negeri Sembilan.

Kediaman itu antaranya di Kampung Sawah, Kampung Pachitan dan Kampung Bukit Pelandok akan dibaiki dengan peruntukan disediakan kerajaan negeri.

Seorang daripada mangsa, Siti Aisah Kapi, 78, berkata, ribut berlaku pada 5.15 petang yang membawa bersama hujan dan petir.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba bumbung rumah tercabut dan terbang dibawa angin. Nasib baik tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Inilah pertama kali bumbung rumah saya terbang akibat ribut dan saya ucapkan terima kasih atas bantuan segera yang dihulurkan,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching menyantuni mangsa dan menghulurkan bantuan.

Michael Yek berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM30,000 untuk membolehkan pihaknya membantu mangsa dan membaiki rumah rosak.

“Kerajaan prihatin dengan masalah penduduk dan kita akan membaiki rumah mereka yang terjejas teruk,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:34pm
d