mutakhir

Kereta terbabas, bayi tercampak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAYI perempuan patah bahu kanan dan kaki kiri akibat tercampak selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbabas di Kilometer 37.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah Elite, di Sepang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian 3.20 petang itu berlaku ketika kereta mangsa berada di lorong tengah hilang kawalan sebelum berpusing disebabkan tayar pecah.

“Kereta Nissan Skyline dipandu lelaki berusia 27 tahun itu kemudian merempuh penghadang jalan sebelah kiri.

“Kejadian itu menyebabkan dua mangsa iaitu isterinya berusia 27 tahun serta bayi perempuan mereka berusia setahun lima bulan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar melalui cermin belakang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, mangsa wanita mengalami patah peha kanan, manakala anaknya patah bahu kanan dan kaki kiri.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. Kemalangan itu juga menyebabkan sebuah kereta model BMW yang melalui laluan berkenaan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

“Dua kereta lain jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat terkena serpihan objek dalam kemalangan itu,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu video berdurasi satu 36 saat dan beberapa gambar kejadian berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:37pm
d