mutakhir

Pelajar asrama diarah pulang

Oleh Harun Yahya

Bomba memindahkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balingiau, Kanowit, susulan banjir semakin buruk hari ini.

Difahamkan banjir sudah menenggelami keseluruhan kawasan sekolah termasuk laluan untuk pelajar dari asrama ke dewan makan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membantu mengeluarkan guru dan murid berkenaan pada jam 2.43 petang tadi.

“Seramai dua orang murid dan enam orang guru sekolah dipindahkan ke tempat selamat menggunakan bot dalam operasi berkenaan.

“Sekolah berkenaan kini ditenggelami air sedalam sehingga 1.2 meter di kawasan terendah.” katanya.

SK Nanga Balingiau mempunyai 98 orang murid, 18 guru dan tujuh orang anggota Kakitangan Perkhidmatan (AKP) Sekolah.

Arrahman menambah, selain SK Nanga Balingiau, jalan raya menuju ke Rumah Bali di Ulu Bawan turut ditenggelami banjir.

“Setakat ini tiada pemindahan dijalankan. Penduduk kampung terpaksa menyeberangi jalan dengan mengharungi air kerana tiada jalan alternatif di kawasan berkenaan.”

“Anggota kami juga menolong penduduk rumah panjang yang ingin menyeberangi jalan dan menasihatkan mereka supaya sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan banjir.” Katanya

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 5:48pm
d