mutakhir

Guru ditemui meninggal di rumah sewa [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

GURU lelaki berusia 59 tahun ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Taman Muhibbah, dekat Jerantut, pada 10 pagi hari ini.

Kejadian disedari selepas guru terbabit, Mohd Rthuan Md Noor yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, Jerantut tidak hadir ke sekolah hari ini.

Seorang guru, Kamaruddin Mohd Napiah, 55, berkata, beberapa guru cuba menghubungi telefon bimbit selepas arwah tidak hadir ke sekolah hari ini.

“Pada mula masing-masing menganggap arwah mengambil cuti sakit tambahan memandangkan dia sudah bercuti sakit pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, kami mula tidak sedap hati apabila panggilan tidak dijawab dan membuat keputusan untuk menziarahi bersama seorang rakannya yang sudah bersara,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara rakan arwah, Baharuddin Datar 61, berkata, dia dihubungi seorang guru memintanya melawat arwah di rumah sewa.

“Saya mendapati rumah sewa arwah bertutup. Saya cuba memanggilnya berkali-kali tetapi tiada jawapan, sedangkan kereta pacuan empat rodanya miliknya ada di hadapan rumah.

“Selepas mengesyaki sesuatu tidak kena saya cuba membuka pintu melalui tingkap yang tidak rapat, sebaik masuk didapati arwah terbaring di dalam sebuah bilik,” katanya.

Menurutnya, dia memaklumkan perkara itu kepada beberapa rakan arwah dan menghubungi polis.

Katanya, Khamis lalu, dia menghantar arwah ke klinik Jerantut untuk mendapat rawatan setelah dia mengadu tidak sihat.

Baharuddin berkata, sebelum pulang dia mengajak arwah bersarapan sebelum menghantarnya pulang ke rumah pada 11.00 pagi.

Mayat kini berada di Bilik Forensik Hospital Jerantut.

Sementara, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

“Tiada unsur jenayah dalam kes ini. Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 6:11pm
d