mutakhir

Inap desa disita, bangunan dirobohkan [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

PEJABAT Tanah dan Galian (PTG) Kedah menyita sebuah kawasan inap desa seluas 1.137 hektar di Bandar Sungai Petani, hari ini selepas didapati menceroboh tanah milik kerajaan.

Operasi turut membabitan kerja-kerja merobohkan tiga struktur bangunan termasuk 40 bilik, pejabat pengurusan dan kafeteria.

Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Mohamad Che Nai berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

“Tanah ini adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk kegunaan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani.

“Maklumat diperolehi lebih kurang 15 tahun kawasan ini diceroboh untuk pembangunan, inap desa, tempat makan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohamad berkata, dua notis mengikut KTN dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) di bawah Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dikeluarkan pada 20 Oktober tahun lalu.

Katanya, dalam akta berkenaan, tempoh selama 90 hari diberikan kepada pemilik premis untuk mengosongkan bangunan, namun sehingga hari ini pemilik premis gagal berbuat demikian.

Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi turut membabitkan 300 anggota pelbagai agensi termasuk PTG, MPSPK, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan polis.

Katanya, kerja pengosongan tanah dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu termasuk menimbus sebuah kolam memancing yang terdapat di kawasan terbabit.

“Kita turut mengemukakan kompaun kepada pemilik bangunan dalam tempoh selama 30 hari bagi menuntut semula peralatan yang disita.

“Kompaun dikemukakan kepada pemilik premis dan kita akan lupuskan barang-barang yang boleh diubah sekiranya tidak dibayar,” katanya.

Katanya, pihaknya difahamkan lokasi itu bakal dijadikan sebagai tempat latihan ketenteraan.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 7:16pm
d