mutakhir

Lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang 'mengganas'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TIGA sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Rawang Perdana 2, di Gombak diceroboh lima lelaki bertopeng sebelum melarikan kereta, wang tunai, barangan kemas dan telefon bimbit.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin itu, lelaki berusia 23 tahun yang ketika itu bersama adik perempuannya berada di tingkat bawah rumah berkenaan terkejut apabila kumpulan itu yang menaiki kereta Honda CRV berhenti di hadapan rumah sebelum meluru masuk.

Menurut sumber, mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila tiga lelaki bersenjatakan parang dan seorang lagi memegang alat renjatan elektrik mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri manakala, seorang lagi rakan suspek menunggu dalam kereta.

“Seorang suspek kemudian ke tingkat atas rumah dan memukul bapa saudara mereka yang berada di dalam bilik sebelum dia dibawa ke bawah.

“Suspek terus menggeledah rumah itu dan mengambil wang tunai RM22,000, cincin emas, rantai leher, gelang emas, telefon bimbit dan kereta Honda Civic sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, mangsa yang terselamat tampil membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 8:08pm
d